![LOS ANGELES, CA - NOVEMBER 19: University of California Los Angeles (UCLA) student Andrea Flores challenges campus police as students and supporters protest after the UC Board of Regents voted to approve a 32 percent tuition hike next year on November 19, 2009 in Los Angeles, California. Undergraduate fees for students at the California university system would be increasing by about $2,500. It is the second day that demonstrators, including students from other UC campuses, have gathered to try to dissuade the board from approving the proposed increase. Massive cuts to balance the state budget have squeezed education funds in California. (Photo by David McNew/Getty Images)]()
Gambar: David McNew/Getty Images
Terjemahan “Protesting Youth in the Age of Neoliberal Cruelty” oleh Henry A. Giroux, terbitan Truth-Out pada 18 Jun 2014. Diterjemahkan oleh Maryam Lee.
“Realiti sentiasa mempunyai kuasa untuk memberikan kejutan. Ia mengejutkan anda dengan menjawab soalan yang tidak pernah ditanya – yang juga paling menarik.
Di situlah rangsangan hebat untuk kehidupan, kebolehan untuk melihat persoalan-persoalan yang mungkin belum ditanya.” – Eduardo Galeano
Serangan Neoliberalisme ke atas Demokrasi
Fred Jameson pernah berhujah bahawa “lebih mudah untuk kita membayangkan kehancuran dunia berbanding dengan kehancuran kapitalisme.”
Beliau meneruskan, “Kini kita boleh melihat semula ayat ini dan menjadi saksi kepada percubaan untuk membayangkan kapitalisme sepertimana kita membayangkan kehancuran dunia” (Jameson, 2003).
Salah satu cara memahami komen Jameson ini, adalah bahawa wujudnya arus-arus penentangan, khususnya oleh golongan muda, di dalam kerangka ideologikal dan ruang-ruang yang terkesan akibat penghasilan subjek neoliberal dan normalisasi ideologi berpandukan pasaran.
Golongan belia kini berkeras bahawa kapitalisme kasino ini didorong sejenis kegilaan ganas dan berbentuk sabotaj kendiri, dan jika ia tidak dihentikan, barangkali kehidupan manusia dan planet ini akhirnya akan menemui kehancuran.
Pastinya, laporan-laporan saintifik terkini berkenaan ancaman ekologi, daripada Universiti Washington, NASA, dan panel antara-kerajaan mengenai perubahan iklim mengukuhkan lagi kemungkinan distopia ini. [1]
Sebagai bentuk terbaru kapitalisme pemangsa, neoliberalisme merupakan sebahagian daripada projek ekonomi dan politik untuk mengembalikan kekuasaan kelas dan mengukuhkan penumpuan modal secara pesat, khususnya modal kewangan (Giroux, 2008; 2014).
Sebagai sebuah projek politik, ia merangkumi “pelonggaran kawalan kewangan, penswastaan perkhidmatan awam, penghapusan dan pengurangan kebajikan sosial, serangan terbuka ke atas kesatuan-kesatuan, dan pencabulan rutin undang-undang tenaga kerja” (Yates, 2013).
Sebagai ideologi, ia melemparkan kesemua aspek kehidupan ke dalam kerangka pasaran rasional, menjadikan keuntungan sebagai penentu dan intipati demokrasi, dan konsumerisme sebagai satu-satunya cara penglibatan masyarakat.
![Gambar: Capsweb]()
Gambar: Capsweb
Ia juga mengangkat kepercayaan karut bahawa pasaran boleh menyelesaikan kesemua masalah dan bertindak sebagai kerangka semua hubungan sosial.
Sebagai kerangka pentadbiran, neoliberalisme menghasilkan identiti, subjek, dan cara hidup yang berpandukan etika “kehidupan untuk yang paling kuat”.
Ini didasari idea individu yang bebas dan mempunyai pemilikan, serta mengabdikan diri kepada hak golongan dan institusi pemerintah untuk menggunakan kuasa tanpa mempertimbangan isu etika dan kesan sosial.
Sebagai projek polisi dan politik, ia berhubung rapat dengan penswastaan perkhidmatan awam, penguraian hubungan antara isu swasta dan masalah awam, dan penggadaian fungsi-fungsi kerajaan.
Ia juga merangkumi liberalisasi perdagangan barangan dan pelaburan modal, penyah-kawalan institusi kewangan dan syarikat-syarikat korporat oleh badan kerajaan, dan pemusnahan konsep negara dan kesatuan-kesatuan berkebajikan.
Kesimpulannya, ia suatu pemasaran serta pengkomoditian masyarakat yang tiada berakhir.
Neoliberalisme telah menumpukan usaha dalam mencipta sebuah alat pemerintahan bersifat kebudayaan, dan mengajar orang awam bahawa setiap individu hanya boleh melihat diri mereka sebagai pengguna, dan menanggapi kebebasan sebagai hak untuk menyertai pasaran.
Ia membenam isu-isu tanggungjawab sosial demi kepentingan individualisme yang tidak terkawal, dengan kepercayaan bahawa semua hubungan sosial perlu dinilai berdasarkan keuntungan dan kepentingan peribadi.
Hal-hal menjaga satu sama lain, hormat-menghormati dan belas ihsan sejagat diketepikan untuk dunia penswastaan dan kepentingan peribadi tanpa batas.
Pada masa yang sama, masalah-masalah peribadi lebih sukar dihubungkan untuk pertimbangan awam, dalam ruang permasalahan sosial, ekonomi dan politik yang lebih besar.
Sementara ruang demokratik masyarakat awam terhakis dek rejim neoliberal yang terus mencengkam pendanaan awam, kontrak sosial semakin lemah atau digantikan terus dengan bentuk-bentuk kapitalisme rakus, budaya ketakutan dan peningkatan keganasan kerajaan.
Salah satu kesannya ialah kesukaran untuk berdebat dan mempersoalkan hegemoni neoliberal dan kesengsaraan akibatnya kepada orang-orang muda, miskin, kelas pertengahan, para pekerja, dan kelompok lain.
Mereka dianggap golongan “pakai buang” dalam rejim neoliberal yang ditadbir oleh etos “kehidupan untuk yang paling kuat”, yang ditegakkan oleh golongan bangsawan dan elit dunia ekonomi dan politik.
Orang kebanyakan kini tidak mampu menyuarakan pandangan mereka dan tidak mempunyai perwakilan sebenar dalam proses ini. Maka tahap kesengsaraan belia di bawah defisit demokrasi ini lebih jelas.
Menurut Chantal Mouffe, pemerintahan kapitalisme neoliberal menghasilkan “rasa tidak puas hati yang tinggi dalam masyarakat” ( Mouffe, 2013:119).
Inilah sebabnya begitu ramai golongan belia, pekerja, penganggur dan mahasiswa bertindak mengadakan demonstrasi di jalan raya sebagaimana yang berlaku di Greece, Mexico, Mesir, Amerika Syarikat, dan England.
![Gambar: Young Economists pk.com]()
Gambar: Young Economists pk.com
Kebangkitan Belia Pakai Buang
Apa yang menarik kini adalah cara golongan muda, terutamanya yang miskin dan minoriti, telah dinafikan kedudukan mereka di mana-mana strata sosial sehingga mereka tidak lagi dikira dalam pendefinisian masa depan negara.
Kesengsaraan golongan belia “pakai buang” ini jelas di mana jutaan sedang menganggur dan dinafikan kebajikan jangka panjang di negara-negara seperti England, Greece, dan Amerika Syarikat.
Kadar pengangguran golongan belia di Sepanyol, Itali, Portugal, dan Greece adalah sekitar 40 hingga 50 peratus.
Lebih teruk lagi, graduan kolej atau universiti tidak mendapat pekerjaan atau terpaksa mengambil kerja berkemahiran rendah dengan gaji picisan.
Di Amerika Syarikat, golongan belia semakin banyak bergantung kepada setem makanan (sistem tuntutan makanan bagi mereka yang tidak berkemampuan).
Belia kini menghadapi hutang yang besar, krisis peluang pekerjaan, peningkataan keganasan dan kawalan pihak berkuasa, dan prospek kehidupan yang jauh lebih menyedihkan berbanding dengan generasi ibubapa mereka.
Ramai orang muda mempamerkan kemarahan yang lazimnya mendalamkan lagi kehampaan dan pengasingan diri mereka dari gelanggang politik.
Ini generasi pertama, menurut ahli sosiologi Zygmunt Bauman, di mana “kesengsaraan mereka yang terasing mungkin mencapai keseluruhan generasi” (Bauman, 2012a; 2012b; 2012c).
Beliau menegaskan belia hari ini telah “dicampakkan dalam keadaan terumbang-ambing, dengan tiada kepastian sama ada ia hanya sementara ataupun berkekalan” (Bauman, 2004: 76).
Belia kini tidak lagi menggalas harapan untuk peluang keistimewaan yang ditawarkan kepada generasi sebelumnya.
Mereka kini diselubungi tanggapan neoliberal di mana kehidupan adalah sementara, dan berputus harapan terhadap kemajuan berserta dengan bayangan masa depan yang gelap dan tidak terjamin.
Jangkaan mereka untuk visi-visi kemajuan telah pudar dan hancur dek normalisasi polisi pasaran neoliberal yang menghapuskan jaminan sosial seperti pencen, penjagaan kesihatan, pendidikan tinggi.
Polisi-polisi ini telah menghasilkan kadar pengangguran tinggi sementara memberikan berjuta-juta kepada bank dan institusi ketenteraan.
Mahasiswa, terutamanya, mendapati diri mereka terperangkap di dalam aspirasi yang musnah dan dunia yang penuh keberhutangan (Fraser, 2013; The History of Debt, lihat Graber, 2012).
![Gambar: Democracy Now]()
Gambar: Democracy Now
Kebangkitan Semula Imaginasi Radikal
Dalam tempoh evolusi rejim neoliberalisme, terutamanya yang muncul di Amerika Utara sejak lewat 1970-an, bahasa etika yang memberi perhatian kepada keganasan dan kesengsaraan tersebut hilang sama sekali .
Sementera itu, belia yang ditindas terus kehilangan maruah, diri dan pemilikan materi kepada sistem kejenteraan “pakai buang”.
Ketakutan mereka untuk kehilangan segala-galanya, kengerian keadaan terumbang-ambing yang melumpuhkan, bertungkus lumus hanya untuk kehidupan paling asas di dalam kerangka negara yang menghukum dengan keganasan – telah menjadi cara hidup bagi golongan 99% di Amerika Syarikat dan negara-negara lain.
Dalam situasi sebegini, golongan belia bukan lagi penakung aspirasi masyarakat, namun menjadi tempat di mana mimpi-mimpi ngeri disembunyikan.
Di sebalik polisi-polisi pengurangan dana awam yang merosakkan, “zon-zon pengabaian yang timbul menggantikan nilai-nilai belas kasihan, tanggungjawab sosial, dan keberanian sivil dengan keganasan domestik, kesengsaraan, kekejaman dan hukuman” (Biehl, 2005: 2)
Menentang keadaan ini, terbangkitlah satu generasi yang mempercayai kuasa penyanggahan kolektif.
Pada tahun 2010, protes-protes golongan muda sedunia menuntut peluasan demokrasi, daripada penolakan demokrasi.
Gerakan begitu mencipta makna baru dalam fahaman politik, yakni berdasarkan kerjasama dan penglibatan politik secara melintang.
Mereka telah menghidupkan kembali persoalan-persoalan penting berkenaan kuasa kelas, ketidaksetaraan, korupsi kewangan dan penghakisan proses demokrasi.
Mereka juga meneroka makna penciptaan komuniti baru yang saling membantu, pertukaran dan pentadbiran yang demokratik , dan ruang awam yang mengangkat dialog kritis.
[Untuk analisa baik berkenaan korupsi kewangan yang didorong neoliberalisme, sila rujuk Anderson, 2004].
![]()
Gambar: Blouin News
Arus protes golongan muda bermula pada tahun 2010 di Tunisia, dan merebak ke seluruh dunia hingga ke Amerika Syarikat dan Eropah.
Ia akhirnya mencabar terus dominasi neoliberal dan politik korup, dan mungkin makna demokrasi itu sendiri (Hardt & Negri, 2012).
Tanggapan bahawa cabaran politik hanya boleh dilakukan melalui “saluran yang betul” dan kerangka kekuasaan yang sedia ada ditolak sama sekali oleh mahasiswa di universiti dan golongan muda keseluruhannya.
Selama beberapa tahun, golongan belia telah mengubah tanggapan asas mengenai politik dan bagaimana imaginasi radikal digunakan untuk menyanggah kepercayaan asas neoliberalisme serta kerangka autoritarianisme yang sewaktu dengannya.
Mereka juga mencabar wacana dominan daripada pengurangan defisit dan pencukaian golongan miskin, pengangguran, hutang pendidikan yang melampau sehinggalah korupsi korporat.
Bak kata Jonathan Schell, golongan belia seluruh dunia berjaya meluahkan “semangat bertindak”, yang lahir dari kemarahan yang berpaksian moral kolektif dan penyanggahan politik yang mengatakan:
“Sudah!” kepada kebobrokan politik, ekonomi dan media yang merompak kekayaan dunia untuk diri mereka… mensabotaj keluhuran undang-undang dan melancarkan peperangan ganas dan sia-sia secara berterusan.
Mereka menjarah sumber bumi yang terhad, dan melayarkan penipuan kepada orang awam, sementara mengancam kehidupan bumi dalam perdagangan itu” (Shcell, 2011).
Namun, segala kemarahan yang ditonjolkan melalui protes dan demonstrasi belia ini tidak mendatangkan perubahan penting secara global.
![Gambar: Juanroyo.com]()
Gambar: Juanroyo.com
Keruntuhan atau Penyusunan Semula Protes Belia?
Costas Lapavitsas dan Alex Politaki menulis di The Guardian bahawa pasca “bencana ekonomi dan sosial 2012 dan 2013”, golongan belia di Greece, Perancis, Portugal, dan Sepanyol telah menghilangkan diri daripada “politik, gerakan sosial dan jaringan sosial spontan yang muncul untuk berhadapan dengan bencana ini” (Lapavitsas & Politaki, 2014).
Namun pada waktu yang sama, mereka menekankan bahawa golongan belia “tertarik dengan politik kehancuran, termasuklah beberapa bentuk anarkisme dan fasisme” (Lapavitsas & Politaki, 2014).
Ini menunjukkan bahawa golongan muda tidaklah hilang dari gelanggang politik.
Sebaliknya, mereka yang beralih ke aliran kanan digerakkan dengan keperluan yang menjanjikan kepuasan hati.
Perubahan mahasiswa dan yang lain ke arus kanan menunjukkan krisis ekonomi tidak sepadan dengan krisis idea, yang mampu menggerakkan golongan muda ke arah politik berhaluan kiri, atau gerakan sosial yang mampu memahami krisis ekonomi dan politik secara lebih kritikal.
Kita juga tiada strategi untuk mencipta dan mengekalkan gerakan politik demokratik yang mampu mengelak penyerapan sistem ekonomi dan politik yang menindas, sepertimana yang dominan di Amerika Syarikat, Greece, Turki, Portugal, Perancis, dan lain-lain sekarang.
Kritikan ke atas protes belia sebagai sebuah generasi yang disangsi masyarakat diperincikan lagi oleh Andrew R. Myers di Student Pulse (Myers, 2012).
Beliau berhujah bahawa kemerosotan ekonomi dan pendidikan di kalangan orang muda Erapah telah menghasilkan bukan sahaja perasaan pesismis, namun juga kesangsian yang sinikal dan bahaya terhadap politik yang sedia ada.
Malangnya, Myers tidak berapa peduli tentang keadaan yang menyebabkan orang muda kehilangan peluang pekerjaan dan pendidikan yang baik, dan meletakkan beban hutang yang berat ke atas mereka.
Golongan muda ditawarkan masa depan yang kelam dengan harapan yang punah. Namun, beliau lebih menumpukan kepada “malangnya” situasi di mana belia lebih cenderung membelakangkan parti politik tradisional.
Myers benar dalam mengatakan bahawa musuh sebenar golongan muda adalah globalisasi yang merapuhkan demokrasi, namun beliau silap dalam mengatakan bahawa parti politik sosial demokrat adalah satu-satunya harapan reformasi menyeluruh.
Oleh itu, Myers berhujah bahawa golongan belia yang menzahirkan kesangsian kepada kerajaan dan memperjuangkan pembinaan dunia baru adalah simbol kekalahan politik, ataupun sikap sinikal itu sendiri.
![]()
Namun, walaupun dengan ratapan beliau terhadap orang muda yang tidak cukup melawan pada hari ini dan juga kekurangan penglibatan dalam politik tradisional, beliau akhirnya membela parti kiri/liberal yang berpegang kepada demokrasi sosial dan polisi buruh baru yang bersifat tengah-kiri.
Teguran beliau seolah-olah menunjukkan kepercayaan buruk terhadap golongan muda, kerana beliau mengkritik keengganan mereka menyertai politik pilihanraya dan kesatuan, namun pada golongan belia, kedua-dua ini sememangnya melambangkan unsur politik reformis yang mereka tolak.
Ironinya, kedua-kedua kritikan yang mendakwa belia sebagai pasif dan kegagalan politik mereka tidak pula berkata apa-apa mengenai generasi dewasa yang telah mengagalkan mereka.
Yakni, naratif yang dilupakan adalah fakta bahawa generasi terdahulu menerima “hakikat bahawa satu generasi tidak lagi menghulurkan tangannya untuk membantu generasi seterusnya” (Knott, 2011: ix).
Tiada langsung tanggapan kritikal terhadap keadaan sejarah dan hilangnya tanggungjawab politik dan moral sebuah generasi dewasa.
Generasi yang telah meredhai dan menghasilkan semula, sejak lewat tahun 1970-an, kerajaan dan sistem sosial yang membawa peperangan, ketamakan, korupsi politik, xenofobia dan penerimaan pemerintahan globalisasi neoliberal yang rakus.
Malah, bezanya golongan muda yang memprotes seluruh dunia adalah penolakan terhadap ketidakadilan neoliberalisme dan cubaan mereka untuk mendefinisikan semula politik dan demokrasi, sementara mencipta bentuk-bentuk penyanggahan baru (Hardt & Negri, 2012; Graeber, 2013).
Antara kritikan mereka, pemprotes golongan muda mengatakan dengan semangat bahawa parti demokratik sosial yang tradisional, berhaluan kiri dan liberal telah “terlalu tengah”.
Ini menjadikan mereka bersubahat bersama pihak korporat dan pemerintah politik bangsawan.
Akibatnya, mereka terpaksa menghadapi ketidakadilan dalam kerangka kapitalisme kasino yang menganggap pasaran bebas mampu menentukan kebaikan keseluruhan aspek kehidupan sosial, dan bukan hanya ekonomi (Hardt & Negri, 2012: 88)